10 November 2012

Tumbuhan Sebagai Ubat

Ketika menggunakan tumbuhan sebagai bahan bagi melakukan rawatan dan terapi diri, maka terdapat beberapa perkara yang perlu ditekankan iaitu:

1. Pengecaman tumbuhan ubatan - Boleh dilakukan dengan merujuk secara lisan kepada mereka yang mahir melakukan pengubatan ini atau melalui rujukan kepada bahan-bahan bertulis sama ada bercetak mahupun di laman web. Pengunaan tumbuhan yang salah akan memberi kesan yang berbeza dan sekiranya teruk boleh membawa maut. Oleh itu sebaiknya ilmu pengecaman tumbuhan ini dimahirkan terlebih dahulu sebelum melakukan penyediaan ubatan tersebut memandangkan adanya tumbuhan-tumbuhan yang amat mirip rupanya. Perlulah berhati-hati dengan nama tempatan yang sama umpamanya pokok Sundal Malam yang terdapat pelbagai rupanya. Sebaiknya lakukan rujukan menggunakan nama botani memandangkan ianya digunakan di seluruh dunia bagi menamakan kepada satu spesis tumbuhan sahaja.

2. Kandungan dan umur bahagian tumbuhan - Adalah penting mengetahui kandungan yang terdapat dalam setiap bahagian sesuatu jenis tumbuhan bagi mengelakkan menggunakan bahagian yang beracun.  Kebanyakan pokok yang bergetah mengandungi racun yang merbahaya dan pastikan sukatan yang digunakan adalah minima agar tidak memudaratkan pesakit. Bahagian yang berbeza umur juga akan memberi perbezaan kepada bentuk struktur, kandungan bahan kimia, kekerasan dan lain-lain lagi di mana kandungan bahan kimianya akan berbeza dengan ketara pada peratus kandungan dan jenisnya.  Hal ini perlu ditekankan agar tidak terguna bahagian tumbuhan pada peringkat umur yang boleh mengakibatkan kesan toksik kepada pesakit.  Terdapat tumbuhan yang tidak beracun pada sesuatu bahagian tetapi terdapat bahagian lainnya yang beracun umpamanya buah tomato tidak beracun tetapi keseluruhan bahagian yang lainnya adalah beracun.

3. Waktu pengumpulan bahan - Bagi mendapatkan kandungan bahan yang terbaik maka ada waktu yang amat sesuai dilakukan pemetikannya. Berikut ada waktu pengumpulan bahan tumbuhan ubatan secara umum sekiranya tidak dinyatakan secara khusus iaitu :
■ Daun diambil dari tumbuhan yang sedang berbunga dan ketika sebelum buah menjadi masak.
■ Bunga diambil dari yang belum atau yang baru mekar berkembang.
■ Buah dipetik dalam keadaan masak.
■ Akar, rizom, umbi, bebawang dan ubi dituai selepas waktu pertumbuhannya terhenti.
■ Dikatakan bahawa daya tarikan graviti bulan mengambang mempengaruhi kandungan kimia sesuatu jenis tumbuhan dan ada juga tumbuhan yang tidak dipengaruhinya.
■ Keadaan cuaca, iklim atau musim mempengaruhi bahan kimia tumbuhan di mana  ada tumbuhan perlu dituai pada musim-musim yang tertentu bagi mendapatkan paling kandungan kimianya pada ketika itu.

4. Tempat tumbuhan tumbuh - Elakkan mengambil bahan tumbuhan yang tumbuh di tempat yang terdedah kepada percemaran udara umpamanya di tepi jalan yang sibuk dengan kenderaan yang bermotor, kawasan kilang yang penuh asap, tanah yang tercemar, disembur dengan racun dan terlebih baja kimia yang berlebihan. Ini dilakukan agar bahagian tumbuhan yang digunakan tidak mengandungi bahan kimia yang membahayakan pesakit.

5. Kandungan tanah di mana tumbuhan tumbuh - Tanah yang kurang mineral mengakibatkan tumbuhan yang hidup di situ juga mengandungi kurang mineral dan begitu juga sehingganya terlebihnya bahan mineral dan boleh mempengaruhi kesan ubatan yang digunakan. Oleh itu sebaiknya gunakan tumbuhan yang tumbuh di tanah yang tidak tercemar dan tidak terlalu banyak atau terlalu kurang sesuatu unsur bahan mineral.

6. Pencucian dan pengeringan - Bahan tumbuhan ubatan yang telah dipetik dan dikumpulkan perlu segera dibasuh bersih dengan air bersih yang mengalir. Ianya boleh digunakan dalam keadaan segar dan boleh disimpan dalam bekas kedap udara bagi digunakan ketika perlu. Melalui pengeringan, kandungan air dikurangkan sehingga dapat mengelakkan berlakunya pembusukan yang disebabkan oleh kulat dan bakteria. Sekiranya perlu bahan yang telah dikeringkan ini boleh ditumbuk atau dikisar lumat menjadi serbuk. Kaedah pengeringan yang dilakukan ialah :
■ Memotong kecil bahan-bahan bersaiz besar dsn sekiranya banyak air perlu dipotong nipis-nipis.
■ Menjemurkannya secara langsung di bawah sinaran matahari. Boleh diletakkan kain jaring di atasnya bagi membolehkan ia mengering tidak terlalu cepat.
■ Menjemurkan di tempat yang teduh dan berangin bagi mengeringkannya secara perlahan-lahan.

7. Sifat dan cita rasa ubat - Menurut rawatan tradisi Cina, terdapat 4 jenis sifat iaitu dingin, panas, hangat dan sejuk. Tumbuhan ubat yang bersifat panas dan hangat dipakai bagi merawat penyakit yang disebabkan oleh kesejukan umpamanya pesakit kesejukan, lidah pucat dan nadi lambat. Tumbuhan ubat yang bersifat dingin dan sejuk digunakan bagi merawat penyakit yang disebabkan oleh kepanasan umpamanya demam, rasa haus, air kencing berwarna kuning tua, lidah merah @ denyut nadi cepat. Lima jenis cita rasa dari tumbuhan ubatan ialah pedas, manis, masam, pahit dan masin. Adalah perlu menyatakan citarasa ini kerana ia mempunyai hubungan dengan organ tubuh, selain dari mempunyai khasiat dan kegunaan sendiri. Dikatakan rasa pedas mempunyai sifat menyebar dan merangsang; rasa manis berkhasiat tonik dan menyejukan; rasa masam berkhasiat mengawetkan dan pengelat; rasa pahit dapat menghilangkan panas dan lembap; dan rasa masin bagi melunakkan serta sebagai pencahar. Terdapat juga rasa yang dikatakan neutral atau tawar yang berkhasiat sebagai pelawas kencing.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan